Di sekolah,  remaja ini dibelenggu dengan isu ponteng dan melawan cikgu manakala di luar pula bermacam-macam masalah yang mereka mulakan seperti vandalisme, bergaduh dengan rakan sebaya atau menjadi kutu lepak.

Keadaan tersebut seiring dengan pe­ningkatan perlakuan-perlakuan jenayah yang dilakukan sama ada berat atau ringan sehingga kerap menjadi paparan laporan media konvensional atau sosial.

Antara yang telah dipaparkan dan menggemparkan masyarakat ialah kejadian kebakaran maut di sebuah pusat tahfiz di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur dan di Johor Bahru ialah kemalangan yang membabitkan kematian budak-budak basikal lajak.

Contoh-contoh ini menggambarkan keadaan institusi keluarga di Malaysia sudah semakin teruk sehingga pada satu peringkat sukar dikawal. Kes-kes jenayah dan gersang akhlak ini semakin hari semakin meningkat sehingga memerlukan langkah-langkah yang lebih berkesan dilakukan selain penguatkuasaan undang-undang yang telah sedia ada.

Dalam keadaan tertentu, bagi remaja-remaja berkenaan, leteran ibu bapa dan nasihat guru tidak ubah seperti radio buruk semata-mata. Bagi mereka kehendak dan kemahuan diri adalah lebih utama walaupun melanggar undang-undang atau agama.

Malang dan peliknya, apabila berlaku sahaja perkara-perkara buruk yang menimpa anak-anak  yang bermasalah itu,  ada pula dalam kalangan mereka enggan menyalahkan diri sendiri sebaliknya meletakkan kesalahan pada pihak atau orang lain pula.

 Dalam hal ini guru atau orang lain pula diheret ke mahkamah bagi menutup kelemahan masing-masing (ibu bapa).

Kini, pelajar bermasalah memang tidak boleh disentuh oleh guru. Jika terbukti mereka melakukan kesalahan berat, bukan mudah dibuang sekolah begitu sahaja.

Zaman memang telah berubah. Dahulu golongan guru mempunyai nilai tersendiri dan dihormati dan diberi kepercayaan untuk mendidik anak bangsa. Masyarakat terdahulu biasa melontarkan ungkapan, ‘cikgu buatlah apa sahaja untuk anak sahaja, pukullah jika perlu asalkan tidak cacat.’ Begitu sekali tingginya tahap kepercayaan dan hormat masyarakat terhadap guru.

Keadaan begitu tidak lagi sekarang. Memelihara akhlak pelajar di sekolah bukan mudah ekoran bebanan kerja seorang guru dan bilangan pelajar yang semakin banyak dan beragam.

Bukan sesuatu yang asing guru di­seret ke mahkamah atau nama mereka direkod di balai polis kerana ‘menjentik’ anak murid. Seorang guru kini berada dalam keadaan dilema - antara  bertindak tegas dalam memelihara akhlak pelajar dan  memastikan diri serta sekolah tidak terheret oleh tindakan mahkamah. Dalam pada itu bebanan kerja untuk memastikan nama baik dan prestasi sekolah  sentiasa terbaik tidak pernah menyusut.

Siapa yang peduli perasaan dan bebanan mental yang dihadapi oleh kalangan guru sekarang?
 
Sesama Kita - Remaja sepatutnya berdiri sebagai satu institusi tersendiri dalam sebuah keluarga dan masyarakat. Cabaran dan kehidupan yang mereka hadapi pada zaman tanpa sempadan kini bukan calang-calang. Tidak seperti generasi ibu bapa mereka, cabaran yang dihadapi pada keseluruhan anggota badan - luar dan dalam.

Cabaran fizikal adalah satu hal manakala hambatan zaman moden seperti kecanggihan kemudahan komunikasi tanpa halangan memberi bentuk tersendiri pada mental dan perlakuan mereka.

Justeru tidak hairanlah, ada perlakuan-perlakuan buruk remaja sekarang  seperti membunuh, merogol dan merompak bagaikan sukar diterima akal yang waras tetapi pada masa yang sama ia  bukan sesuatu yang mustahil pula.

Sebenarnya dalam banyak hal, me­ngatasi masalah akhlak dan jenayah dalam kalangan remaja paling berkesan dilakukan oleh golongan itu sendiri selain ibu bapa dan guru.

Ibu bapa memanglah satu kelompok motivator tersendiri tetapi banyak yang berpendapat satu lagi kumpulan yang berkesan dalam menyampaikan pe­ranan yang sama ialah dalam kalangan rakan-rakan sebaya atau peer group remaja sendiri.

Biasanya kumpulan ini mempunyai kefahaman yang hampir sama dengan rakan sebaya masing-masing. Bahasa orang muda lebih mudah diterima dan difahami oleh golongan yang sama, begitulah perbandingannya.

Bagaimanapun untuk mendekatkan atau menyatukan dua kelompok remaja yang bertentangan watak dan pemikiran ini bukan senang. Maklumlah latar belakang dan corak penerimaan pendidikan antara mereka tidak sama.

Oleh itu adalah penting untuk masyarakat umumnya benar-benar memahami kehendak dan permasalahan golongan remaja kerana pada zaman ini remaja adalah komponen penting dalam sebuah keluarga.

Masyarakat atau keluarga pasti tempang jika komponen remaja di dalam­nya turut sedemikian.  Remaja dan keluar­ga sepatutnya saling melengkapi dan jika ini dapat dijadikan satu kepastian, sudah pasti kedua-duanya akan membentuk masyarakat Malaysia yang sempurna dan gemilang.